Menyelami, memahami kepelbagaian gaya tarannum Al-Quran



Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid






BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 14 November. - Masjid Ash-Shaliheen di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menganjurkan sesi kedua program bertajuk 'Dialog Tarannum bersama Qari-qari Profesional' di masjid berkenaan, malam tadi.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat.


Program tersebut menampilkan dua qari jemputan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa iaitu Awang Haji Muhd. Fikri bin Haji Awang Metussin dan Awang Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti persembahan bacaan Al-Quran oleh para qari jemputan. Program berkenaan diketuai oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awang Mohammad Syariff Wafiuddin bin Jemain, selaku Moderator.


Melalui program tersebut, para pelajar dapat menyelami dan memahami kepelbagaian gaya tarannum serta teknik pengendalian suara yang tepat untuk memperindah bacaan Al-Quran.


Para peserta dialog turut berpeluang mempelajari aspek gaya dan teknik agar dapat menguasai asas tarannum dan juga melatih suara dengan gaya yang berbeza di samping memastikan penguasaan tajwid dalam bacaan.


Para qari juga berkongsi pengalaman serta kaedah-kaedah praktikal dalam memperagakan suara, intonasi, dan penjiwaan supaya pembacaan tarannum menjadi lebih bertenaga dan menyerlahkan keindahan alunan ayat-ayat suci.


Program berkenaan adalah antara inisiatif Masjid Ash-Shaliheen dalam melaksanakan Program Tarannum dan Tajwid Al-Quran yang konsisten, selaras dengan seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar Al-Quran terus dijadikan panduan dan amalan harian masyarakat.


Masjid Ash-Shaliheen terus komited meneruskan program berkenaan sebagai platform utama pendidikan Al-Quran. Sesi ketiga akan berlangsung minggu hadapan bagi memfokuskan aspek penting dalam seni tarannum demi memartabatkan nilai dan keindahan bacaan Al-Quran di negara ini.


Close